Bengkel MIV Bersama Komuniti 2020
6 September 2020 | Aktiviti TerkiniPada 5 September 2020 telah berlangsung Bengkel Malaysia ICT Volunteer (MIV) Bersama Komuniti bagi tahun 2020. Bengkel MIV ini berjalan selama 2 jam setengah bermula pada pukul 10 pagi hingga 12.30 tengah hari melibatkan hampir 3000 orang sukarelawan dari Pusat Internet (PI) di seluruh Malaysia. Bengkel kali ini dijalankan dalam keadaan norma baharu iaitu secara atas talian menerusi telesidang bagi mengikuti garis panduan Perintah Kawalan Pergerakan dan Pemulihan (PKPP) dalam menangani Pandemik COVID-19.
Bengkel MIV ini turut menyokong kempen yang dianjurkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dengan slogan “Kebebasan Bersuara Bukan Kebebasan Berbohong”. Kempen ini juga merupakan kesinambungan kempen-kempen terdahulu selaras dengan perkembangan semasa dalam usaha kerajaan untuk memerangi penyebaran berita palsu dan mempromosikan tingkah laku dan tanggungjawab yang positif. Sukarelawan MIV yang diberi kepercayaan juga bertindak sebagai ejen pengubah atau duta dalam mendidik, mempromosi dan berkongsi mesej utama terhadap komuniti masing-masing termasuk pemimpin tempatan di peringkat akar umbi.
Aktiviti sukarelawan memfokuskan penyampaian mesej advokasi dengan memanfaatkan platform secara atas talian dan diberikan tempoh selama 6 hingga 8 minggu bagi melengkapkan tugasan kempen MIV Bersama Komuniti. Tugasan yang diberikan merangkumi peranan dalam mengetengahkan nilai-nilai positif dan perlu dipraktikkan oleh pengguna internet seperti ('bercakap benar', 'bijak menilai', 'beringat bila bercakap').
Sementara itu, penyebaran mesej yang menitikberatkan impak berita palsu kepada komuniti perlu dipandang serius dengan mempertingkatkan kandungan benar dalam usaha menamatkan pembohongan agar tidak menjejaskan keharmonian sejagat. Tambahan pula, pengguna hendaklah menyemak dahulu kesahihan sesuatu kandungan atau berita yang diterima di portal Sebenarnya.my. Maka, masyarakat khususnya golongan netizen haruslah menyedari bahawa dengan membuat kenyataan palsu di alam maya adalah merupakan satu kesalahan yang tidak boleh diterima apatah lagi untuk dikongsi sesama sendiri.
Akhir sekali, sukarelawan MIV juga turut didedahkan dengan perkongsian aplikasi MySejahtera dan portal MyCensus. Aplikasi MySejahtera diwujudkan oleh Kerajaan Malaysia untuk membantu dalam pengawasan penularan wabak COVID-19 di dalam negara dengan membolehkan pengguna melaksanakan penilaian kesihatan kendiri manakala individu boleh menjalankan tanggungjawab Banci 2020 secara atas talian menerusi kaedah e-Census serta perlu diperluaskan penggunaannya dalam kalangan rakyat pada masa kini.
Berikut adalah gambar sepanjang aktiviti ini dijalankan: